Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis belum panggil bekas CEO 1MDB, kata TPM
Diterbitkan:  May 17, 2016 11:56 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Pihak polis belum menyoal siasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Halmi dalam sebahagian siasatan ke atas firma pelaburan kontroversi itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Semua saksi yang terlibat akan dipanggil oleh polis jika ada keperluan untuk merekodkan kenyataan mereka dan siasatan selanjutnya.

"Shahrol belum dipanggil untuk merekodkan kenyataan beliau lagi," ujar Zahid dalam jawapan bertulis parlimen semalam.

Beliau menambah, siasatan polis adalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan tipu.

Dlam laporannya mengenai 1MDB, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyalahkan Shahrol atas kelemahan firma itu.

Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah pelanggaran keputusan pengurusan dan nasihat oleh lembaga pengarah, atau bertindak sebelum keputusan spesifik dibuat oleh lembaga pengarah.

Shahrol terlibat dengan 1MDB dari mula, ketika ia masih dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

Kira-kira dua minggu yang lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mengarahkan siasatan lanjut ke atas 1MDB.

"Mengenai 1MDB, saya sudah arahkan siasatan lanjut berkenaan dengan personaliti lain yang mungkin terlibat dan saya masih belum menerima kertas siasatan (IP) berhubung dengan arahan itu.

"Setakat ini, mereka belum kembali (kepada saya)," kata Apandi.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang dibentangkan awal bulan April mencadangkan pihak berkuasa supaya menyiasat Shahrol Azral dan juga pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat itu.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya mengumumkan satu pasukan polis sedang menyiasat 1MDB untuk meneliti laporan PAC.

Lihat Komen
ADS