Polis percaya motif pergaduhan di Penjara Sungai Buloh sehingga menyebabkan kematian Rastam Talib, 19, semalam, berpunca kerana mangsa dituduh mencuri biskut dan coklat oleh empat tahanan lain yang berada dalam sel yang sama dengannya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Mohd Azmir Mohd Nazri berkata, keempat-empat lelaki itu yang berumur antara 20 dan 22 tahun telah ditangkap pada pukul 11 pagi ini di penjara itu dan mereka ditempatkan dalam sel yang berasingan di penjara yang sama.

Menurut laporan Bernama , Mohd Azmir berkata dengan penangkapan keempat-empat mereka polis menyifatkan kes berkenaan telah selesai.

"Empat lelaki itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa di penjara itu sementara menunggu perbicaraan, seorang ditahan atas kes samun, dua ditahan berhubung kes rogol manakala seorang lagi ditahan berhubung kes dadah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Rastam yang tidak sedarkan diri sejak kejadian itu pada awal bulan lepas meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada jam 2 pagi Ahad.

Tahan reman

"Dalam siasatan polis tiada sebarang senjata ditemui dan polis percaya Rastam telah dipukul dengan objek tumpul, bagaimanapun kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk pengesahan lanjut," katanya.

Beliau juga menjelaskan pihak berkuasa penjara membenarkan keluarga tahanan membekalkan makanan ringan seperti biskut dan coklat kepada tahanan.

Rastam ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sejak Disember lalu berhubung kes dadah dan beliau telah berada dalam koma selama sebulan akibat kecederaan daripada pergaduhan itu.

Dalam perkembangan lain, Azmir berkata tiga lelaki yang dua daripadanya masing-masing bersenjatakan parang berjaya dikepung dan ditangkap oleh orang ramai dalam cubaan menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Perdana, Taman Indah Perdana, Kepong pada 7.20 malam semalam.

Ketika kejadian hanya pemilik kedai berkenaan berada dalam kedainya dan beliau hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berumur antara 24 dan 31 tahun ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa menyamun dan mereka ditahan sehingga 14 Mac mulai hari ini.