Pemuda Gerakan pakai topeng mulut protes FOI Pulau Pinang
Tiga anggota sayap Pemuda Gerakan Pulau Pinang hari ini memakai topeng mulut di luar Dewan Undangan Negeri sebagai langkah simbolik untuk menunjukkan bahawa rakyat 'disenyapkan' meskipun dengan kewujudan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI).
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo menggesa dewan undangan negeri menghapuskan keperluan menandatangani akuan berkanun apabila pemohon membeli dokumen di bawah FOI itu.
"Keperluan itu bertentangan dengan semangat dan prinsip Enakmen FOI. Hapuskan ia (FOI) jika anda (kerajaan negeri) tidak bersedia untuk memansuhkan keperluan untuk menandatangani SD itu," kata Loo kepada pemberita.
Beliau berkata telah diminta menandatangani SD tersebut pada bulan Februari apabila membeli perjanjian bagi projek-projek pembangunan di Bayan Baru dan Bayan Mutiara.
Menurut SD itu, jika beliau mendapat dokumen yang diminta, beliau hanya boleh menggunakannya untuk "rujukan dan penyelidikan peribadi".
Loo (foto kanan) menambah: "Ini bermakna bahawa pihak-pihak awam atau pembangkang tidak boleh menggunakan dokumen itu untuk memeriksa pentadbiran negeri.
"SD ini memerlukan pemohon tidak menyalin atau memetik dokumen atau membuat apa-apa pengubahsuaian bagi tujuan kenyataan negatif terhadap kerajaan negeri," katanya.
Pada 4 Februari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan bahawa perjanjian Bayan Bay dan Bayan Mutiara tidak akan dirahsiakan.
Apabila diminta menandatangani SD itu, Loo mempersoalkan niat dan keikhlasan kerajaan negeri.
"Adakah kerajaan negeri mendapat kelulusan daripada dewan undangan negeri? Adakah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri meluluskan keputusan untuk mendapatkan pemohon menandatangani SD tanpa persetujuan dewan undangan negeri?" tanya Loo.

