Tanding atas tiket Gerakan pada PRU14, Rayer cabar Teh
Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu dicabar oleh rakan seperjuangannya dari parti yang sama supaya bertanding atas tiket parti Gerakan dalam pilihan raya umum akan datang.
Geram dengan tindakan Teh yang tidak henti-henti meminta jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja, Rayer bangun dan berteriak "Ini sangat memalukan! Sangat memalukan!".
"Anda mungkin patut bertanding atas tiket Gerakan daripada roket (DAP) dalam pilihan raya akan datang," kata Rayer dalam nada yang tinggi, ketika Teh membentangkan ucapan beliau semasa persidangan dewan undangan negeri Pulau Pinang, hari ini.
Rayer berasa marah dengan tindakan Teh menghadiri perbincangan meja bulat untuk mengehadkan jawatan ketua menteri yang dianjurkan oleh Gerakan pada Sabtu yang lalu.
Teh telah memohon untuk usul tersebut diperdebatkan pada sidang dewan itu kali ini tetapi ditolak oleh Speaker Law Choo Kiang atas alasan teknikal.
Teh dilihat begitu ghairah dalam isu tersebut sejak beberapa tahun dan tetap menegaskan tidak mempunyai sebarang dendam peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Timbalan speaker Maktar Shapee cuba menghentikan Rayer dari terus mengganggu, namun Teh mencelah dan berkata "Biarkan dia bercakap, ada kebebasan bersuara".
"Biar apa yang beliau katakan direkodkan dalam Hansard, biar rakyat lihat sandiwara ini," tambah Teh.
Teh mahu mencadangkan penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mengehadkan kepada dua penggal sahaja bagi memberi peluang kepada pemimpin lain yang berkebolehan memegang jawatan itu.
Cadangan itu juga akan memberi peluang kepada pemimpin lain termasuk wanita untuk mentadbir Pulau Pinang.
Usul itu turut mendapat sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid dan ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey, juga dari DAP.

