Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Anwar: Mungkin percakaran Azmin-Azizah, kata Zaid

Surat kritikan pedas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terdedah kepada umum semalam dipercayai bersangkut-paut dengan persengketaan dalam PKR sendiri, kara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau yang dilihat kuat menyokong gerakan 'Selamatkan Malaysia' pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi sehingga menyebabkan muncul 'warkah dari penjara' itu.

"Saya tidak tahu apa yang telah berlaku. Mungkin ekoran perbalahan antara puak Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) dengan Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR).

"Saya tidak mampu untuk menolong anda," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Zaid turut mengelak untuk mengulas lanjut mengenai hal itu.

Dalam surat dengan lapan halaman itu, Anwar mengejutkan banyak pihak dengan kritikan terbuka terhadap Mahathir dan Deklarasi Rakyat selain menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.

Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.

Antara inti pati amanat Anwar itu ialah terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui Deklarasi Rakyat sehingga menggugat perjuangan parti itu.

Mahathir juga disifatkan sebagai pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan sambil memetik memetik ungkapan oleh penyair Inggeris terkenal, William Shakespeare : “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.

Hari ini, beberapa pemimpin telah memberikan maklum balas mengenai kesan surat tersebut.

Antaranya, Wan Azizah sendiri atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan yang sekadar mengatakan surat itu bukan untuk tatapan umum.

“Ia hal dalaman, hal dalaman,” jelas Kak Wan ketika diminta menjelaskan kesahihan surat tersebut.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula menyifatkan nukilan Anwar itu sebagai peringatan pemimpin PKR supaya tidak terbawa-bawa dengan Deklarasi Rakyat adalah tepat pada masanya.

Ia meletakkan kembali konteks asal dan rangka kerja bagi sebarang kerjasama lanjut hendak diteruskan dan tidak ada jalan pintas dalam mengalahkan BN dan supaya tidak tersasar dari agenda reformasi, kata Rafizi kepada Malaysiakini.

DAP pula menegaskan untuk terus bekerjasama dengan Mahathir kerana menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan Anwar itu adalah perkara biasa.

"Ia adalah reaksi yang biasa. Selain Anwar, masih ramai di luar sana yang sangsi dengan Mahathir. Sama seperti mereka meragui ketika Anwar menyertai pembangkang banyak tahun yang lalu.

"Kebimbangan beliau itu ada rasionalnya seperti kami jua. Kami juga takut dipergunakan (oleh Mahathir demi agenda peribadi)," kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.

Lihat Komen
ADS