Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Anwar: Mungkin percakaran Azmin-Azizah, kata Zaid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tidak menolak kemungkinan percakaran dalaman antara pemimpin PKR menyaksikan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ingatan supaya berwaspada dalam kerjasama mereka dengan gerakan Deklarasi Rakyat yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, bekas menteriUmno itu mengakui bahawa beliau tidak dapat menentukan sebab sebenar yang mencetuskan bekas ketua pembangkang yang sedang meringkuk di penjara menulis surat lapan halaman berkenaan.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

"Mungkin kerana percakaran dalaman antara puak (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri ) Azmin Ali dan (Presiden PKR, Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya tidak dapat bantu anda," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Zaid juga sebagai pengerak utama Deklarasi Rakyat dan sering mempertahankan Mahathir, menggesa pembidasnya untuk mengketepikan perbezaan mereka untuk matlamat yang sama.

Berikutan pendedahan surat semalam, terdapat pelbagai reaksi daripada pemimpin PKR yang menunjukkan bahawa tidak semua mereka berada pada landasan yang sama berhubung isu berkenaan.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, semalam mendakwa surat itu sebagai palsu tetapi pagi ini mendakwa Anwar tidak melarang PKR daripada bekerjasama dengan Mahathir tetapi sekadar ingatan untuk berwaspada.

“Berwaspada bagi saya suatu perkataan yang positif misalnya kita diminta berwaspada (apabila berada) di jalan raya, takkan tak nak guna jalan raya.

"Logik yang sama berlaku di sini," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengambil pendekatan berbeza.

Semalam, Rafizi yang juga adalah setiausaha agung PKR mengesahkan kesahihan surat itu dan menyifatkannya sebagai satu peringatan kepada pemimpin PKR agar tidak terbawa-bawa dengan Mahathir dan kembali ke memperjuangkan isu-isu teras.

Sementara itu, Wan Azizah pula memilih untuk kekal membisu mengenai surat suaminya atas alasan bahawa ia adalah isu dalaman parti.

Beliau juga cepat untuk memotong soalan wartawan apabila ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Azmin dan berkata: "Jangan letakkan kata-kata di mulut saya."

Terdapat spekulasi yang bertiup kencang bahawa PKR di ambang keretakan, tetapi tidak pernah ada pemimpin yang secara terbuka mengakui ataupun mengesahkannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS