Enam remaja 'Geng Al Mahdi' ditahan kerana terlibat dalam jenayah curi motosikal di Melaka dan Negeri Sembilan sejak tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata kesemua remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan dalam tiga tangkapan di sekitar daerah Alor Gajah dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan anggota kumpulan itu yang bernama Al Mahdi berusia 18 tahun dalam satu pemeriksaan jalan raya di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak di Alor Gajah kira-kira 4.30 petang pada 5 Mei lepas.

"Pada awalnya kita tahan lelaki berkenaan kerana negatif dadah jenis methamphetamine dan hasil siasatan lanjut remaja berkenaan mengaku terlibat dalam dua kes curi motosikal dan melakukannya dengan bantuan beberapa rakan sepenjenayah.

"Susulan itu, polis berjaya menemui satu rangka motosikal Honda EX5 yang dibuang di dalam Sungai Raya, Port Dickson, Negeri Sembilan bersabit laporan kehilangan motosikal di Telok Kemang," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata tangkapan kedua melibatkan dua anggota geng berkenaan di sekitar Pasir Panjang, Port Dickson pada 9 Mei manakala seorang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada 12 Mei dan dua lagi ditahan di sekitar Pasir Panjang, Port Dickson semalam.

Katanya hasil siasatan lanjut, polis turut menemui sembilan rangka motosikal yang dibuang di Sungai Paya Lebar, Masjid Tanah dan empat rangka di Sungai Timun, Port Dickson.

Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata semua rangka motosikal yang ditemui telah dihapuskan nombor casis dan motosikal berkenaan terdiri daripada jenis Honda EX5, Yamaha 125 dan RXZ.

Beliau berkata modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan mematahkan pemegang motosikal dan mencabut lampu hadapan serta memotong wayar sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

Katanya komponen motosikal berkenaan kemudian dileraikan dan dijual pada harga RM500 hingga RM700 sebelum rangka kenderaan tersebut dibuang ke dalam sungai.

"Hasil siasatan mendapati 13 daripada rangka motosikal yang ditemui melibatkan kecurian di daerah Alor Gajah dan satu di Port Dickson, Negeri

Sembilan," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

-Bernama