Anggota Parlimen Jelebu Datuk Zainuddin Ismail dilaporkan semakin stabil selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau dimaklumkan mengenai keadaan semasa Zainuddin dalam pertemuan dengan isteri Zainuddin, Datin Fauziah Yaakub, baru-baru ini.

"Saya dan barisan Jemaah Menteri amat prihatin dengan apa yang terjadi dan berharap anggota keluarga Zainuddin dapat menghadapinya dengan tabah dan sabar.

"Saya doakan agar beliau diberi kesembuhan dan dapat kembali bertugas serta berbakti kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lepas, Zainuddin dikejarkan ke Hospital Jelebu selepas tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dihantar ke HKL untuk menjalani rawatan lanjut.

Azalina, yang juga anggota Parlimen Pengerang, percaya jentera Pusat Khidmat Anggota Parlimen Jelebu mampu memberi khidmat kepada rakyat di kawasan tersebut sementara Zainuddin menjalani rawatan.

"Antara perkara yang menjadi perhatian adalah kebajikan rakyat di parlimen tersebut," katanya.

-Bernama