Kerajaan akan teruskan Proton, Perodua
Kerajaan berpandangan Proton dan Perodua wajar diteruskan.
Ini kerana kewujudan syarikat pengeluar kereta negara itu berjaya meningkatkan kemampuan negara secara menyeluruh dalam industri automotif.
Proton, sebagai contoh, daripada hanya memasang dan menjual kereta kini mampu menjalankan penyelidikan dan pembangunan melibatkan pelbagai aspek, kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
"Dalam masa yang sama, kerajaan akan memastikan pembangunan industri automatif tempatan akan terus dilaksanakan," katanya.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen menjawab soalan Lim Lim Eng (DAP Segambut).
Lim mahu tahu jumlah keuntungan dan kerugian kedua-dua syarikat itu daripada ditubuhkan hingga sekarang.
Beliau juga memohon pendirian kerajaan sama ada syarikat itu patut diteruskan atau tidak.
Jawapan bertulis menteri bagaimanapun tidak memberikan angka untung rugi Proton dan Perodua kerana ia boleh dirujuk dalam laporan tahunan masing-masing.
Lagi pun, menurut jawapan itu, ia tidak dikawal selia oleh kerajaan.

