Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Mana surat tunjuk sebab saya langgar disiplin?
Diterbitkan:  May 18, 2016 12:36 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak pernah menerima surat tunjuk sebab daripada parti itu terhadap sebarang salah laku.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata beliau juga tidak pernah dimaklumkan oleh lembaga disiplin mengenai apa-apa pertuduhan melanggar disiplin parti.

"Sepatutnya saya diberikan surat tunjuk sebab yang memperincikan asas-asas tuduhan terhadap saya. Saya juga mesti diberikan suatu tempoh untuk menjawab segala tuduhan tersebut dan menyatakan sebab-sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya.

"Namun, berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, semua langkah ini telah tidak diambil oleh Lembaga Disiplin," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Tengku Adnan Tengku Mansor semalam bahawa satu laporan oleh Lembaga Disiplin Umno mengenai kedudukan beliau dalam parti itu telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Muhyiddin berkata, kenyataan Tengku Adnan menggambarkan proses tuduhan pelanggaran disiplin terhadapnya dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur yang betul.

"(Ia) sekaligus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan Umno," katanya.

Menurut Muhyiddin, penubuhan lembaga disiplin Umno berasaskan prinsip memastikan semua ahli Umno yang dihadapkan ke lembaga itu mendapat layanan adil.

"Ironinya, jika apa yang dinyatakan oleh setiausaha agung Umno adalah benar, dalam kes yang melibatkan diri saya sendiri sebagai orang nombor dua di dalam parti, semangat dan prinsip penubuhan lembaga disiplin telah tidak dipatuhi," katanya yang terlibat dalam penubuhan lembaga itu pada tahun 2000.

Mahu selamatkan Umno, kerajaan

Ahli parlimen Pagoh itu berkata, sepanjang berada dalam kerajaan, beliau telah memberikan pandangan dan nasihat mengenai isu yang melanda kepimpinan Umno, khususnya yang mencemar nama baik parti dan kerajaan.

"Tujuan saya adalah untuk menyedarkan kepimpinan Umno tentang bahaya besar yang sedang menanti Umno jika kemelut yang membabitkan presiden parti tidak diselesaikan dan menggesa mereka mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan parti dan memulihkan keyakinan ahli Umno dan rakyat seluruhnya kepada parti dan kerajaan.

"Adalah malang sekiranya tindakan saya untuk menyelamatkan Umno dianggap sebagai melanggar disiplin parti," katanya.

Justeru, Muhyiddin menggesa lembaga displin Umno memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar laporan terhadap beliau seperti dinyatakan Tengku Adnan.

"Saya berhak untuk mengetahui asas-asas tuduhan ke atas diri saya dan seterusnya membela diri sebelum sebarang tindakan diambil terhadap saya," katanya.

Muhyiddin digantung daripada Umno sejak 26 Februari lalu selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan Julai tahun lalu.

Lihat Komen
ADS