Audit: Masih ada mangsa banjir tinggal dalam khemah
Lebih setahun selepas banjir dasyat melanda pada Disember 2014 yang menyebabkan kira-kira 200,000 mangsa dipindahkan.
Bagaimanapun 40 peratus daripada rumah mangsa banjir berkenaan masih belum siap, menyebabkan sesetengah mereka masih tinggal dalam khemah atau rumah transit.
Ia berdasarkan siri pertama Laporan Ketua Audit Negara 2015 terhadap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (APBN) di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang ditugaskan menyelia usaha pemulihan dan pembinaan semula rumah berkenaan.
Laporan itu menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan semula, kerajaan memperuntukkan RM246.73 juta untuk pembinaan rumah-rumah baru, yang digelar Rumah Kekal Baru (RKB) pada harga RM55,000 setiap satu.
Sementara kerja-kerja pembaikan dihadkan pada RM10,000 bagi setiap rumah.
Bagaimanapun, audit mendapati setakat Mac 2016, hanya 838 daripada 1,395 rumah baru (60 peratus) telah dibina di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
Ini berlaku walaupun projek pembinaan semula itu diletakkan di landasan yang pantas oleh kerajaan.
Di Kelantan, hanya 646 daripada 1101 (59 peratus) RKB telah disiapkan manakala di Perak, hanya 42 daripada 94 RKB (45 peratus) telah dibina.
Di Pahang, 134 RKB daripada 184 (73 peratus) manakala di Terengganu, semua 16 RKB telah disiapkan.
Ia berkata beberapa isu melanda projek RKB, termasuk masalah hak milik tanah, aksesibiliti dan juga kontraktor meninggalkan projek kerana masalah kewangan.
Laporan itu juga mengkritik peruntukan kerana hanya RM75.95 juta daripada RM246.73 juta (31 peratus) dana banjir digunakan setakat 8 Januari tahun ini.

