Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Datok Loh Chee Heng, yang dipecat DAP kerana dakwaan salah guna dana, menyalahkan “musuh politik” yang membuat dakwaan itu.

Beliau bagaimanapun berkata akan merayu kepada parti, bekerjasama dengan siasatan, selain bertugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.

“Saya yakin kebenaran akan tetap muncul satu hari nanti,” katanya.

“Walaupun buat pada masa ini Pusat Khidmat Rakyat saya di Jenjarom telah dikunci untuk menghalang saya menjalankan tugas dan menggunakan premis tersebut tetapi saya akan terus menunaikan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat kawasan dalam waktu ini.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapa musuh politik yang dimaksudkannya itu.

DAP pada 14 Mei lalu memecat Loh selepas jawatankuasa disiplin parti itu mendapati beliau bersalah menyalah guna peruntukan kerajaan negeri kepada kawasan pilihan rayanya.

DAP Selangor turut merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Dalam tulisannya di Facebook hari ini, Loh menafikan sepenuhnya tuduhan penyalahgunaan peruntukan kawasan Teluk Datuk.

“Semua penggunaan peruntukkan kawasan saya telah dipohon, diluluskan dan digunakan mengikut peraturan dan pekeliling yang di tetapkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, dan selaras dengan kriteria kewangan negeri,” katanya.

Loh merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk Teluk Datuk dan rakan-rakan yang memberikan semangat bagi melalui detik-detik yang sukar semenjak 16 tahun menceburi politik.