Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC akan panggil tiga jabatan susulan laporan audit

Tiga jabatan akan dipanggil dalam prosiding bersama Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ekoran Laporan Ketua Audit Negara siri pertama bagi tahun 2015.

Menurut Pengerusinya Datuk Hasan Arifin, tiga jabatan tersebut ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Air Negeri Sabah dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil tiga jabatan tersebut supaya prosiding itu dapat diadakan secepat mungkin.

Hasan bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengapa tiga jabatan tersebut dipanggil dalam prosiding bersama PAC.

"Kita akan panggil secepat mungkin.

"Kita panggil kerana kita tengok pada kepentingan, contohnya Jabatan Imigresen sekarang adalah perkara yang orang perkatakan. Satu lagi mengenai luar bandar dan lagi satu ialah kesan pada rakyat iaitu bencana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen hari in.

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, berdasarkan laporan audit yang dikeluarkan hari ini, Hasan memberitahu sebanyak 29 kementerian, jabatan dan badan berkanun persekutuan menerima sijil tanpa teguran.

Manakala, lima badan berkanun persekutuan dan kumpulan wang menerima sijil teguran serta satu badan berkanun persekutuan dan kumpulan wang menerima sijil 'disclaimer'.

Selain itu, hasil kerajaan persekutuan pada 2015 pula berjumlah RM219,088 juta berbanding RM220,625 juta pada 2014, kata Hasan.

"PAC juga dimaklumkan oleh ketua audit negara bahawa nisbah hutang kerajaan Persekutuan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015 berada pada paras 54.50 peratus iaitu berjumlah RM630,540 juta berbanding 2014 iaitu RM582,828 juta," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS