Pasangan suami isteri yang dipercayai memukul dan mengurung tiga pekerjanya di sebuah asrama di Kepong pada 9 Mei lalu direman sehari untuk membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy.

Beliau berkata polis mendapatkan perintah mahkamah untuk mereman kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu pagi ini.

Katanya hasil pemeriksaan awal mendapati premis yang dijadikan asrama pekerja telah dikosongkan dengan kedua-dua suspek menjalankan perniagaan menggunakan nama dan identiti palsu.

"Jenis perniagaan juga belum dikenal pasti dan polis masih menyiasat punca kejadian. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, pasangan suami isteri itu, masing-masing menyerah diri di IPD Sentul pada 8.10 malam dan 4.30 petang susulan laporan polis yang dibuat seorang pekerja wanita berusia 28 tahun yang mendakwa dia dan dua wanita rakan sekerjanya dipukul majikan menggunakan kayu sehingga cedera.

Wanita itu juga mendakwa majikannya bertindak kejam dengan merakamkan gambar bogel mangsa dipercayai untuk dieksploitasikan selain dikatakan turut memukul mereka dengan menuduh mereka mencuri wang syarikat sebanyak RM18,000.

-Bernama