Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih cuba untuk berunding untuk merealisasikan usaha menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan BN dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Beliau berkata, pihaknya masih berbincang dengan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP untuk mencapai tujuan tersebut.

"Kita harus belajar pengajaran dari Sarawak. Saya fikir inilah masa terbaik untuk semua parti-parti politik dari kalangan pembangkang untuk bekerja secara konsensus dan memastikan pertandingan satu lawan satu," kata beliau di Sungai Besar, hari ini.

Beliau turut melahirkan keyakinan memuktamadkan rundingan tersebut sebelum hari penamaan calon pada 5 Jun ini.

Kedua-dua, Amanah dan PAS dilaporkan meninjau peluang untuk bertanding di kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 18 Jun ini.

Azmin sebelum itu telah melancarkan Sungai Besar Sentral, sebuah hub untuk bas-bas percuma yang ditanggung oleh kerajaan negeri dalam kawasan itu.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada parti lain yang ingin meletakkan calon di Parlimen Sungai Besar supaya ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Katanya, PAS mempunyai sokongan yang kuat di kawasan berkenaan dan parti Islam itu akan meletakkan calon mereka di situ.

DAP pula menegaskan tidak akan bertanding di Sungai Besar dan hanya akan menyokong parti dalam Pakatan Harapan untuk meletakkan calon di kawasan tersebut.

Walaupun sesi berkempen untuk pilihan raya kecil kawasan itu belum bermula, Azmin telah menabur janji bahawa kerajaan negeri akan berkhidmat dengan lebih keras untuk penduduk Sungai Besar jika menerima mandat.

"Jika kita mendapat mandat besar, kita akan jalankan lebih banyak program di Sungai Besar," katanya sambil disambut teriakan oleh kira-kira 100 hadirin.

Lihat Komen
ADS