Untung sebelum cukai Petronas susut 60% suku pertama 2016
Syarikat minyak nasional, Petronas mengumumkan keuntungan sebelum cukainya susut 60 peratus kepada RM6.8 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2016 berbanding RM17 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2015.
Angka berkenaan berdasarkan perolehan sebanyak RM49.1 bilion, turun 26 peratus berbanding RM66.2 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelumnya.
"Harga yang lebih rendah dalam semua produk dan susut nilai bersih aset yang lebih tinggi mengurangkan keuntungan yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan pengeluaran yang lebih rendah serta kesan kadar tukaran yang lebih baik berbanding Ringgit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kebimbangan terhadap prospek permintaan sederhana dan lebihan bekalan yang berterusan akan terus memberi tekanan harga minyak mentah.
"Petronas menjangka prestasi juga akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam harga minyak dan kadar tukaran asing," katanya.
Bagaimanapun, syarikat minyak negara itu menjelaskan bahawa ia akan terus dengan usaha rasionalisasi kos untuk kekal kompetitif di samping meneruskan usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian berkesan projek-projek pertumbuhan yang akan membawa nilai.
Semasa menjelas lanjut, syarikat itu berkata keuntungan bersih dan susut nilai bagi suku dalam kajian dicatatkan pada RM4.6 bilion berbanding RM11.4 bilion pada suku yang sama sebelumnya.
Perolehan yang berkurangan itu disebabkan terutamanya oleh harga produk yang lebih rendah berikutan trend penurunan yang berterusan harga penanda aras Dated Brent dan Japan Customs Cleared (JCC), serta jumlah jualan yang lebih rendah dalam produk petroleum dan gas diproses, minyak mentah dan kondensat.
Jumlah aset berkurangan kepada RM567.6 bilion, sehingga 31 Mac, 2016, berbanding RM591.9 bilion, sehingga 31 Dis, 2015, yang disebabkan terutamanya oleh impak kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit.
Ekuiti pemegang saham berkurangan kepada RM364.7 bilion daripada RM374.9 bilion setakat 31 Dis, 2015.
Nisbah kadar hutang susut kepada 15.8 peratus, setakat 31 Mac, 2016, berbanding 16.0 peratus, sehingga 31 Dis 2015.
Menurut Petronas, aliran tunai daripada aktiviti operasi turun 44 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas seiring dengan perolehan lebih rendah pada suku tersebut, katanya.
Pelaburan modal, berjumlah RM11.3 bilion, disumbangkan terutamanya kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia di Johor dan perbelanjaan modal huluan di Malaysia.
Jumlah pengeluaran huluan di Malaysia dan pengeluaran ekuiti antarabangsa kumpulan naik kepada 2.45 juta tong bersamaan minyak (BOE) sehari daripada 2.39 juta BOE sehari pada 2015 berikutan kelayakan pengeluaran Iraq yang lebih tinggi dan aliran pengeluaran baharu dari Indonesia, diimbangi oleh penurunan biasa.
Kelayakan pengeluaran Petronas Group baik sembilan peratus pada 1.82 juta BOE sehari.
Jumlah jualan gas asli cecair berkurangan sembilan peratus kepada 7.35 juta tan berbanding suku yang sama sebelumnya pada 2015 berikutan pengeluaran lebih rendah daripada Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
- Bernama

