Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Teng Chang Yeow telah meletakkan jawatan dari jawatankuasa pusat parti itu.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng mengesahkan perkara itu ketika dihubungi oleh theSun, sambil menambah telah menerima peletakan jawatan itu pada bulan Mac yang lalu.

Kata Liang, presiden parti, Datuk Mah Siew Keong belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kami akan berbincang dan membuat keputusan mengenai hal ini semasa mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Jumaat ini," beliau memberitahu theSun Online.

Liang, bagaimanapun, tidak mahu membuat spekulasi tentang siapa yang bakal mengambil alih kerusi pengerusi BN Pulau Pinang itu.

Buat masa ini, naib pengerusi, Oh Tong Keong memangku pengerusi Gerakan Pulau Pinang sehingga kepulangan Teng yang sedang bercuti dari jawatan politik kerana menguruskan soal perniagaan.

Teng pernah berundur dari jawatan pengerusi BN Pulau Pinang selepas kekalahan BN di pulau mutiara itu pada pilihan raya umum ke-13 tetapi kemudiannya dilantik semula ke jawatan yang sama.

Tidak lama selepas itu, Teng berikrar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berkesan walaupun pernah didakwa terlalu senyap selepas pilihan raya umum dengan tidak membangkitkan sebarang isu.

Khabar angin mengenai peletakan jawatan Teng telah lama bertiup dan sebarang usaha untuk mengesahkannya menemui kegagalan sebelum ini.