PAS: Tiada rundingan dengan PKR untuk Sg Besar
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang rundingan kerusi antara parti itu bersama PKR untuk berdepan pilihan raya kecil di Sungai Besar.
"Tidak pernah ada rundingan (bersama PKR). Jika ada rundingan, tentulah kita tahu.
"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa pengesahan mengenai hal itu. Kita mengetahui melalui viral di aplikasi Whatsapp, maka tidak ada pengesahan dari pihak PAS.
"Jika betul ada, biar presiden PAS yang beri pandangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Ditanya sekali lagi sekiranya terdapat rundingan bersama PKR, anggota parlimen Kota Bharu menegaskan tiada rundingan rasmi antara parti Islam itu bersama PKR.
"Rundingan tak pernah ada, tapi kalau perjumpaan saya tidak tahu. Tetapi tidak ada rundingan secara rasmi antara PAS dan PKR," ujarnya.
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meminta exco kerajaan negeri daripada PAS meletakkan jawatan Isnin depan jika parti itu bertegas meletakkan calon di kerusi parlimen Sungai Besar.
Ia berikutan kerusi tersebut didakwa ingin ditandingi oleh PKR.
Pada pilihan raya umum ke-13 kerusi Parlimen Sungai Besar, calon PAS Mohamed Salleh Husin hanya tewas 399 undi sahaja.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan Azmin meminta exco PAS di Selangor meletakkan jawatan, Takiyuddin meminta kepada semua pihak tidak membuat andaian.
"Saya tidak dapat nak pastikan ia (meminta exco letak jawatan) ugutan atau tidak kerana tidak pasti ia tulen atau sebaliknya.
"Kita tidak boleh buat andaian. Jika ia benar, ia mesti datang daripada Azmin sendiri, atau Pejabat Menteri Besar. Pejabat saya pun tak terima apa-apa.
“Saya rasa jangan dengar kepada perkara yang tidak pasti kerana ia tidak baik kepada semua (pihak)," ujarnya.

