Jika Presiden yang juga Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda tidak ragu-ragu menyahut cabaran untuk berdebat bulan lepas walaupun siasatan sedang berjalan, kenapa alasan itu digunakan untuk mengelak dari perdebatan, tanya Tony Pua.

"Jika semua baik untuk berdebat dulu, pastinya alasan itu tidak boleh dipakai hari ini?" kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataannya.

Semalam, Arul mengumumkan keputusannya untuk menarik diri dari berdebat dengan Pua kerana siasatan polis yang masih berjalan dan pertikaian perundangan dengan International Petroleum Investment Co (IPIC).

"Atas cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang mana Pua juga adalah salah seorang anggotanya, pihak polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat penemuan-penemuan jawatankuasa itu mengenai 1MDB.

"1MDB terbabit dengan pertikaian awam dengan International Petroleum Investment Company (IPIC)," kata Arul.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya kini menumpukan kepada membantu pihak polis dan menyelesaikan pertikaian IPIC.

Dirinya tidak boleh melibatkan diri dengan debat yang mungkin menjadikan kedudukan perundangan 1MDB sebagai prejudis dalam kaitan dengan siasatan polis dan pertikaian, kata Arul lagi.

Mengulas lanjut, Pua berkata, pihaknya tertanya-tanya jika ada sebab lain di sebalik keputusan terbaru Arul itu.

"Apalah agaknya sebab sebenar... Apakah ini semua kepura-puraan bahawa 'proses rasionalisasi' 1MDB yang berjaya telah hancur, mungkin tidak dapat diselamatkan.

"Lebih spesifik, telah terbukti 1MDB telah membayar AS$3.51 bilion, suatu angka yang diberikan sendiri oleh 1MDB kepada Ketua Audit Negara, kepada ‘Aabar Investment PJS Limited’ yang ditubuhkan di British Virgin Islands yang mana tidak mempunyai kaitan apa-apa dengan Aabar Investment PJS yakni anak syarikat IPIC," tambah Pua.

Ujar beliau, pembatalan debat itu tidak akan mematahkan semangat pembangkang untuk membongkar kebenaran di sebalik skandal 1MDB.