Laporan 1MDB: Pua pertikai Hasan berhubung hak tukar status
Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tong Pua hari ini mempertikaikan kenyataan pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Hasan Arifin berhubung hak penukar status Laporan Audit 1MDB.
Menurut Pua, Ketua Audit Negara hanya meminta laporan tersebut dirahsiakan secara rasmi sehingga ia dibentangkan dan ia turut diakui oleh Hasan.
Sehubungan itu, anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu berpendapat bahawa kuasa untuk membentangkan laporan audit 1MDB itu terletak di tangan PAC.
"Beliau (Hasan) hanya menulis surat kepada pihak eksekutif untuk bertanya sama ada mereka akan deklasifikasikan laporan tersebut.
"Kami berpendapat bahawa kuasa untuk membentangkan Laporan Ketua Audit Negara terletak dengan PAC kerana laporan PAC pun kami memetik maklumat-maklumat secara langsung daripada Laporan Audit.
"Kami juga berpendapat bahawa tiada sebarang maklumat yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit mempunyai unsur yang akan menjejaskan keselamatan negara yang perlu dirahsiakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
[Berita penuh menyusul]

