PRK: MCA yakin pengundi Cina sokong calon BN
MCA yakin kira-kira 7,000 pengundi Cina di Kuala Kangsar akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu bulan depan.
Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan beberapa pertemuan dengan pengundi di kawasan tersebut.
Dr Mah berkata dalam pertemuan itu, pengundi juga berharap calon BN yang dipilih dalam PRK tersebut dapat meneruskan legasi kepimpinan anggota Parlimen sebelum ini, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
"Kepimpinan yang ditunjukkan Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar amat dikagumi kerana beliau memberi perhatian terhadap masalah rakyat," katanya kepada Bernama di Bagan Serai hari ini.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Turut terkorban dalam insiden itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.
- Bernama

