Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
24 jam sebelum digantung, 3 kumpulan rayu Jabing diselamatkan

Kho Jabing, 31, yang didapati bersalah kerana membunuh warga China, Cao Ruyin pada 2007 bakal berdepan hukuman gantung esok di Singapura dengan surat pelaksanaan hukuman itu diterima enam hari yang lalu.

Pagi ini, wakil-wakil dari tiga kumpulan hak asasi manusia dan anti hukuman mati menyerahkan surat merayu kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur agar presiden republik itu, memberi pengampunan kepada Jabing.

Dalam surat mereka, Amnesty International Malaysia, Civil Rights Committee (KLSCAH) dan Suaram berkata, kumpulan itu bukan mahu membiarkan berlakunya perbuatan jenayah atau menghapuskan penderitaan keluarga mangsa.

"Namun, kes Jabing ini boleh dikatakan huru-hara dan trauma dengan kesannya itu bukan sekadar kepada Jabing malah turut melibatkan keluarganya," tambah beliau.

Sebelum ini, Bernama melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pernah berjanji untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bagi mengenal pasti tindakan yang boleh dilakukan bagi menyelamatkan Jabing yang berasal dari Sarawak itu.

"Kerajaan Persekutuan sudah melakukan yang terbaik dan menggunakan semua saluran untuk meringankan hukuman. Sekarang, terpulang kepada kerajaan negeri untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Jabing, 31, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana membunuh Cao, 40.

Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Tinggi Singapura mengkaji semula kes serta menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Pihak pendakwa raya merayu semula terhadap hukuman itu di Mahkamah Rayuan yang memutuskan untuk mengekalkan hukuman mati ke atas Kho.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni berkata, jika Singapura meneruskan pelaksanaan hukuman itu, ia akan menyebabkan kutukan antarabangsa.

Lihat Komen
ADS