Idris Jala nafi pemilik firma terima RM10j dana k'jaan
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala hari ini menafikan beliau memegang kepentingan majoriti dalam BFR Institute Sdn Bhd yang menerima RM10 juta dari kerajaan.
"Anda tersalah. BFR Institute dimiliki 100 peratus oleh kerajaan," kata Idris dalam catatan Twitter kepada ahli parlimen Serdang dari DAP, Ong Kian Ming.
Sebentar tadi, Ong mendakwa Idris memiliki 51 peratus pegangan dalam syarikat itu, berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan Idris menguasai 51 peratus saham manakala Pemandu Corporation memegang selebih 49 peratus.
Bagaimanapun, carian SSM oleh Malaysiakini hari ini mendapati maklumat telah dikemas kini pada 1 Mac 2016.
Maklumat dikemas kini menunjukkan saham-saham BFR Institute meningkat kepada 400,000, dengan kini Pemandu Corporation menguasai 399,949, atau 99 peratus saham-saham itu.
Dokumen itu menunjukkan Idris masih memegang 51 peratus saham, namun dengan kenaikan dalam jumlah saham, bahagian beliau telah menurun kepada 0.01 peratus.
Idris turut mengulang tweet oleh VK Nishan dari surat SSM yang menyatakan pengambil alihan Pemandu Corporation telah diluluskan pada 20 July 2015.
Ong mempersoalkan peruntukan RM10 juta kepada BFR Institute untuk menganjurkan Forum Transformasi Global (GTF) pada bulan Oktober 2015.
Duit itu digunakan untuk membayar speaker antaranya bekas bintang Hollywood dan gabenor California, Arnold Schwarzenegger sebanyak AS$200,000.


