Penganjur perhimpunan Hari Pekerja dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan hari ini.

Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan V Selvam serta Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah untuk disoal siasat pada jam 3 petang dan hanya keluar pada pukul 5.30 petang.

"Mereka tidak harus menggunakan sumber polis seperti ini.

"Saya harap mereka tidak membazirkan wang awam dan mendakwa kami. Saya fikir panggil kami (untuk disoal) hari ini adalah sangat tidak perlu," kata Arul ketika ditemui pemberita di luar balai polis selepas selesai disoalsiasat.

Beliau menegaskan mereka telah memaklumkan polis mengenai perhimpunan tersebut pada 18 April dan telah berbincang dengan mereka ketika acara perhimpunan tersebut.

"Mereka tidak meminta apa-apa keperluan khas seperti meminta kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau apa-apa seperti itu.

"DBKL juga ada pada mesyuarat itu dan mereka berkata (boleh) selagi kita tidak melanggar mana-mana harta awam," jelas Arul.

Malah selepas perhimpunan itu, beliau berkata polis memberitahu mereka bahawa tidak ada kejadian yang tidak diingini atau ucapan hasutan semasa perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, siasatan itu dilakukan selepas polis sendiri membuat laporan, katanya.

Sementara itu Doraisamy berkata terdapat ramai anggota polis yang hadir semasa perhimpunan tersebut untuk membantu lalu lintas.

Oleh itu katanya, sekiranya pihak atasan polis ingin tahu tentang butir-butir mengenai perhimpunan tersebut, mereka boleh bertanya kepada anggota mereka.

Ketiga mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana perhimpunan haram serta Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman yang berkaitan dengan kegagalan memberi notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan.

Pada 1 Mei, PSM disokong oleh 70 NGO menganjurkan perhimpunan itu yang menyaksikan lebih 1,000 orang berhimpun untuk menyuarakan bantahan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mendesak gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500.

Penunjuk perasaan berkumpul di Maju Junction sebelum berarak ke Medan Pasar, dan berhenti di pusat membeli-belah Sogo dan Dataran Merdeka.