Hukuman gantung Jabing ditangguh, tunggu rayuan
Jabatan Peguam Negara (AGC) Singapura berkata pelaksanaan hukuman gantung ke atas anak kelahiran Sarawak, Jabing Kho, ditangguhkan.
Jurucakap AGC berkata kes rayuan terhadap hukuman tersebut akan didengar pukul 9 pagi ini.
Peguam keluarga Jabing, Jeanette Chong-Aruldoss berjaya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum pukul 11 malam tadi selepas saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Kannan Ramesh.
Sebelum ini, Jabing yang dijadual menjalani hukuman gantung hari ini, diberi masa sehingga 11 malam tadi oleh MahkamahTinggi untuk memfailkan notis rayuan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
"Kho (Jabing) diberi penangguhan sementara menunggu pendengaran rayuan itu," kata Timbalan Pendakwa Raya, Francis Ng selepas mengadakan pertemuan selama hampir empat jam dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi Singapura semalam.
Tambah Ng sekiranya memfailkan notis itu maka mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu dalam masa terdekat.
Ini susulan tindakan peguam keluarga Jabing, Jeanette Chong-Aruldoss memfailkan segera saman pemula di Mahkamah Agung untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Jabing untuk mencabar penghakiman dalam usaha saat akhir mengelak hukuman mati.
Prosiding bagi pemohonan mencabar penghakiman terhadap hukuman gantung atas kesalahan membunuh didengar di hadapan panel dianggotai oleh Hakim Chao Hick Tin, Andrew Phang, Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.
Peguam Jabing, Gino Hardial Singh memfailkan permohonan itu atas alasan penghakiman itu berat sebelah berikutan Hakim Pang turut terbabit dalam kes rayuan Jabing pada 2010 dan 2013.
Minggu lepas, keluarga Jabing telah menerima surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang memaklumkan Jabing akan menjalani hukuman gantung, hari ini.
Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive pada 2008.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing anak Kujat.
Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.
Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.
Kemudian, Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lepas.
- Bernama

