Azmin seru Sungai Besar tolak 'calon GST'
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyeru pengundi Parlimen Sungai Besar menolak siapa saja calon kerajaan yang melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Dua minggu lagi ramai akan berkampung di Sungai Besar. Orang yang laksanakan GST pun akan turun ke Sungai Besar sebab nak minta bantuan orang Sungai Besar.
"Jangan bantu orang yang meluluskan GST kerana membebankan rakyat," tegas anggota Parlimen Gombak itu.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran program #SmartSelangor Food Stamp 2016 di Sungai Besar, Selangor, hari ini.
Kata Azmin, kehadiran jentera kerajaan pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu hanya akan menabur janji.
"Mereka akan turun dengan pelbagai janji. Mereka akan turun dengan pelbagai sogokan.
"Tapi saya dan pimpinan turun dengan rekod dan prestasi," jelas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.
Terdahulu Azmin menyerahkan bantuan bahan makanan asas kepada 200 penerima di kawasan DUN Sekinchan dan Sungai Panjang.
Mengulas mengenai agihan bantuan itu, Azmin berkata ia bukan program yang baru diputuskan kerajaan negeri sempena menghadapi PRK Sungai Besar, sebaliknya terkandung dalam Bajet 2016 Selangor.
"(Program bantuan) bukan baru diputuskan beberapa hari lalu tapi (memang) terkandung dalam ucapan belanjawan kerajaan negeri 2016 dan dirancang untuk dilaksanakan mulai Jun ini.
"Program pertama bantuan makanan bulanan bukan saja di Selangor tetapi di Malaysia," katanya.
Azmin juga berkata langkah tersebut diambil setelah melihat kegagalan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membantu menangani kos sara hidup rakyat hari ini.
"BR1M tak memberi kuasa (untuk mempengaruhi sesiapa). Kita tidak melihat duit sebagai 'raja'. 'Raja' adalah rakyat dalam negara ini," tambah Azmin.

