Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukum pembocor warkah Anwar - akar umbi PKR
Diterbitkan:  May 20, 2016 12:42 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

PKR cabang Permatang Pauh mahu pemimpin kanan parti yang bertanggungjawab mendedahkan 'warkah dari penjara' kepada media dan umum dikenakan tindakan disiplin.

Ketuanya, Amir Ghazali berkata, tindakan pemimpin kanan itu dianggap suatu pengkhianatan kepada PKR demi melindungi strategi parti dari diketahui musuh.

"Sejajar dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa surat itu adalah bersifat perbincangan dalaman parti, maka pendedahan warkah itu kepada media adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan pengkhianatan kepada parti.

"Tindakan membocorkan rahsia parti ini adalah satu tindakan tidak berdisiplin dan boleh dianggap sebagai satu unsur sabotaj kepada apa jua strategi yang dirangka oleh parti," kata Amir lagi.

Terdahulu, Wan Azizah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan enggan mengulas mengenai 'warkah dari penjara' nukilan Anwar yang secara keras menentang Deklarasi Rakyat.

Ketua pembangkang itu menegaskan surat itu bukan untuk tatapan umum dan adalah hal dalaman.

Mengulas lanjut, Amir menambah, surat atau amanat Anwar harus dikendalikan dengan cermat dan mempunyai satu mekanisme penyampaian yang tertib bagi melindungi kerahsiaannya.

"Pada masa yang sama, saya menggesa semua pimpinan parti untuk kembali merapatkan saf kepimpinan demi kepentingan parti dan perjuangan Reformasi yang telah dipelopori Anwar," katanya lagi.

Kenyataan Amir itu turut disokong oleh Ketua Angkatan Muka Keadilan (AMK) Tasek Gelugor, Mohd Radzi Idrus yang menggesa pucuk pimpinan tertinggi parti supaya mengambil tindakan disiplin yang tegas kepada pembocor surat itu.

"Tidak kira sama ada pemimpin kanan parti mahupun bukan, tindakan tegas harus diambil kerana pembocoran surat tersebut, secara tidak langsung, telah mencalarkan imej parti.

"Ia juga boleh diibaratkan sebagai mensabotaj segala strategi yang dirangka oleh parti," jelas Mohd Radzi.

Lihat Komen
ADS