Jangan bertindak balas, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan tidak bertindak balas terhadap tindakan rakyat Indonesia yang bersikap keterlaluan semasa membantah langkah Malaysia memberi konsesi minyak dan gas di dua blok kawasan di Laut Sulawesi kepada syarikat minyak Shell.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan tidak bertindak balas terhadap tindakan rakyat Indonesia yang bersikap keterlaluan semasa membantah langkah Malaysia memberi konsesi minyak dan gas di dua blok kawasan di Laut Sulawesi kepada syarikat minyak Shell.
Beliau meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh merugikan mana-mana pihak berhubung isu tersebut.
Menurut laporan Bernama , Najib berkata, rakyat kedua-dua negara sewajarnya bertindak bijak dengan menyerahkan kepada pemimpin tertinggi kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu itu melalui rundingan.
Semalam, sekumpulan rakyat Indonesia dilapor mengadakan tunjuk perasaan di beberapa wilayah republik itu bagi menujukkan bantahan terhadap Malaysia berhubung isu sempadan kedua-dua negara.
Media melaporkan, ratusan penunjuk perasaan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di sini dan di Makassar, Sulawesi Selatan bertindak keterlaluan hingga membakar serta memjiak bendera Jalur Gemilang .
Tindakan mereka itu juga turut disiarkan oleh beberapa stesen televisyen Indonesia. Mereka turut membawa pelbagai sepanduk dengan tulisan mencemuh Malaysia.
Stesen televisyennya juga menyiarkan visual lama peristiwa semasa presiden pertama Indonesia Sukarno, berucap ketika berlakunya konfrontasi dengan Malaysia pada tahun 1960-an.
Terlalu mengikut emosi
Mengulas lanjut mengenainya, Najib berkata: "Apa yang penting, kerajaan Indonesia khususnya Presidennya Susilo (Bambang Yudhoyono) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telahpun bercakap tentang isu ini dan mereka telah bersetuju untuk menangani isu ini melalui rundingan.
"Menteri luar (Datuk Seri Syed Hamid Albar) juga telahpun diminta untuk ke Jakarta secepat mungkin untuk memulakan rundingan dengan rakan sejawatannya secara mesra," katanya kepada kumpulan media Malaysia di London.
Najib tiba di London Selasa bagi lawatan kerja rasmi selama enam hari ke United Kingdom.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, rakyat kedua-dua negara perlu mengelak bertindak keterlaluan mengikut emosi hingga hilang perhitungan seperti membakar bendera negara jiran kerana perkara itu tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.
"Saya berharap rakyat Indonesia pun berasa sedemikian kerana kalau kita berdemonstrasi, kita tak dapat menyelesaikan masalah ini. Kita cuma membakar sentimen sahaja dan membakar sentimen tidak menguntungkan mana-mana pihak termasuk tidak menguntungkan pihak Indonesia sendiri.
"Kita jangan terbawa-bawa dengan perasaan emosi sehinga kita hilang perhitungan, membakar bendera Malaysia dan mengeluarkan slogan Ganyang Malaysia dan sebahagian ini bukanlah tindakan daripada rakyat yang bertanggungjawab," katanya lagi.
Najib bagaimanapun yakin rakyat Malaysia lebih bijak dan tidak akan bertindak balas terhadap sikap yang ditunjukkan sebahagian rakyat negara jiran itu.

