BERSIH kini tersasar perjuangan asal - Otai Reformasi
Sebuah NGO reformasi hari ini mempertikaikan tindakan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang kini dilihat mula melupakan perjuangan asal gabungan itu dan memartabatkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ekoran itu, Setiausaha Otai Reformasi 1998, Abdul Razak Ismail berkata pihaknya kini akan menjarakkan diri daripada aktiviti bersama BERSIH kerana menganggap perjuangan gabungan tersebut kini berlainan dengan agenda asal mereka.
"Kita mula meragui peranan BERSIH sejak kebelakangan ini yang mula lari daripada sasaran awal mereka untuk jamin satu sistem pilihan raya yang telus.
"Kita lihat BERSIH kini memperjuangkan untuk memartabatkan Mahathir sebagai ikon, idola untuk menjatuhkan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.
"Jadi kita ragui peranan BERSIH sekarang sedangkan saya tak nampak satu pun tuntutan BERSIH dalam klausa Deklarasi Rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin serta wakil daripada Jingga 13.
Selain itu, menyentuh mengenai surat 'Warkah dari penjara', Abdul Razak berkata surat tersebut bukan isu dalaman PKR semata-mata seperti yang didakwa oleh Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaliknya, beliau berkata, ia ditujukan kepada Pakatan Harapan serta semua rakyat termasuk pihak aktivis supaya berwaspada dengan Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Mahathir itu.
"Surat itu keluar kepada umum. Ia merupakan amaran tentang kelicikan Mahathir. Surat itu dituju kepada pemimpin PKR kerana pemimpin PKR dilihat sebagai pelopor kepada deklarasi ini.
"(Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin (Ali), (Naib Presiden PKR) Tian Chua dilihat pelopor kepada deklarasi ini.
"Jadi kita berpendapat bahawa surat itu sebenarnya ditujukan pada pemimpinan Pakatan untuk dihadam oleh kita, rakyat umum," katanya lagi.
Isnin lalu, Facebook Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menaikkan satu kenyataan mengenai 'surat panjang lebar' dari Anwar yang menyentuh tentang kepimpinan PKR dalam penglibatan Deklarasi Rakyat.
Sehubungan itu, Malaysiakini turut menerima salinan surat lapan halaman bertulis tangan Anwar itu.
Surat Anwar itu antaranya menyentuh tentang kegusarannya dan penglibatan PKR dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri selama 22 tahun.
Ekoran surat itu juga, Datuk Ambiga Sreenevasan mempertahankan Deklarasi Rakyat dan bertegas untuk terus bersama Mahathir di sebalik surat kritikan pedas oleh Anwar.
Deklarasi Rakyat merupakan petisyen yang diwujudkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' termasuk Mahathir pada Mac lalu.
Ia bermatlamat untuk mengumpul satu juta tandatangan bagi dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk memohon penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Selain Mahathir dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Mukhriz dan Muhyiddin, nama-nama besar lain yang menandatangani deklarasi itu ialah Tun Dr Ling Liong Sik, Azmin, Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang dan Datuk Zaid Ibrahim.

