Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura gantung Kho Jabing jam 3.30 petang tadi
Diterbitkan:  May 20, 2016 2:46 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Singapura sebentar tadi melaksanakan hukuman gantung hingga mati ke atas banduan kelahiran negeri Sarawak, Kho Jabing.

Mengikut jurucakap Kempen penaliti anti-pembunuhan Singapura, Rachel Zeng, lelaki itu digantung pada jam 3.30 petang.

Ini selepas mahkamah rayuan republik itu, pagi tadi menolak permohonan rayuan terakhirnya itu.

"Anda tahu dengan baik hukuman itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas," kata Hakim Chao Hick Tin, lapor Channel News Asia Singapura.

Chao berkata sistem undang-undang republik itu akan tidak dihormati jika mahkamah membenarkan sistem yang ada itu dilencongkan dengan membenarkan permohonan Kho.

Kho sepatutnya digantung pagi ini, tetapi hukuman itu ditangguhkan berikutan percubaan oleh peguamnya untuk menyelamatkannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Francis Ng berkata pelbagai permohonan oleh peguam yang berbeza adalah penyalahgunaan proses mahkamah, lapor Channel News Asia .

Peguam keluarga Jabing, Jeanette Chong-Aruldoss berjaya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum pukul 11 malam semalam selepas saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Kannan Ramesh.

Sebelum ini, Jabing yang dijadual menjalani hukuman gantung hari ini, diberi masa sehingga 11 malam semalam oleh MahkamahTinggi untuk memfailkan notis rayuan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive pada 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing anak Kujat.

Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.

Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.

Kemudian, Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lalu.

Lihat Komen
ADS