Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Habuan seks, wang: Bukan wakil rakyat Selangor - Rafizi
Diterbitkan:  May 20, 2016 2:54 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini mengesahkan beliau menulis mesej yang dihantar kepada perbualan kumpulan tertutup menggunakan aplikasi komunikasi WhatsApp berhubung dakwaan habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, beliau juga mengakui didatangi oleh beberapa individu yang melahirkan kebimbangan mengenai beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dengan memberi contoh tuduhan salahlaku.

"Mereka minta saya siasat dengan lebih lanjut atas tuduhan yang khusus kepada individu tertentu dan bukan tuduhan umum.

"Tuduhan itu bukan individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor," jelas beliau dalam kenyataan.

Di samping itu, Rafizi turut mengesahkan membuat rujukan ke atas Timbalan Pengerusi PKR, Zuraida Kamaruddin atau digelar sebagai 'Kak Zu' dalam mesej yang dibocorkan itu.

Rujukan itu, ujarnya, adalah dalam nada dan niat yang baik kerana beliau pernah meluahkan kebimbangannya kepada Kak Zu yang juga Ketua Wanita PKR dalam WhatsApp lebih sebulan lalu.

Luahan tersebut adalah bertujuan memastikan pimpinan PKR lebih peka dan sensitif kepada apa-apa tuduhan rasuah atau salah laku yang membabitkan ahli terutamanya di peringkat bawah, katanya.

"Zuraida lebih rapat dengan akar umbi parti di Selangor dan pandangan saya diluahkan secara peribadi lebih sebulan lalu, oleh itu, rujukan kepada beliau tidak boleh disalah ertikan sebagai tuduhan kepadanya atau mana-mana pimpinan parti," jelas Rafizi lagi.

Isu terbaru itu timbul selepas kemunculan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat.

Ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan dalam PKR.

Bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga mengaitkan surat itu dengan perebutan yang dikatakan antara isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin.

Mengulas lanjut, Razifi menambah, sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), beliau menerima ribuan maklumat dan aduan setiap tahun berkaitan salah laku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Hanya sebahagian kecil dari maklumat atau aduan ini yang akhirnya akan sampai kepada rakyat kerana sebahagian besar dari aduan ini tidak melepasi keperluan bukti minimum yang ditetapkan oleh Now sebelum dibawa kepada rakyat," ujar ahli parlimen Pandan itu.

Lihat Komen
ADS