Keluarga N Dharmendran hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa pegawai polis, termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berhubung kematian lelaki itu ketika tahanan polis tiga tahun lalu.

Isteri Dharmendran, Marry Mariay Susay, adalah satu-satunya plaintif manakala terdapat sebanyak 11 defendan yang dinamakan.

"Kami dalam saman ini menuntut ganti rugi am bagi Marry sebagai tanggungan Dharmendran dan juga ganti rugi bagi pihak estet Dharmendran," kata peguam keluarga N Surendran ketika ditemui pemberita selepas memfailkan saman itu.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia 10 hari kemudian semasa dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengeluarkan laporan pada 28 April mengenai hasil pendengaran awam ke atas kematian Dharmendran mendapati terdapat 52 kecederaan pada tubuhnya.

EAIC mengesahkan bahawa kematian itu adalah akibat penggunaan kekerasan fizikal oleh polis, dan bahawa terdapat dua besi kokot di telinganya semasa mangsa masih hidup.

Suruhanjaya itu juga mendapati bahawa beberapa entri diari lokap yang ditulis oleh dua pengawal lokap adalah palsu.

Mary, seorang suri rumah, memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau gembira kerana EAIC akhirnya membuktikan punca kematian suaminya.

"Akhirnya, mereka (EAIC) telah membuktikan bahawa suami saya tidak mati akibat penyakit atau apa-apa seperti itu.

"Mereka telah mengesahkan bahawa dia mati akibat dipukul oleh pihak polis," katanya.

[Baca berita penuh]