Viral: Selfie 'comel' remaja Islam depan demo anti-Muslim
GLOBAL Seorang remaja Islam 22 tahun mencuri perhatian selepas bergaya 'comel' dan mengambil selfie di hadapan kumpulan anti-Muslim di Belgium.
Zakia Belkhiri bertindak demikian ketika mendapati Vlaams Belang, kumpulan nasionalis ekstrim kanan, berdemonstrasi membantah acara gaya hidup Islam yang dihadirinya.
Tindakan itu membuatkan sebahagian penunjuk perasaan yang membawa poster menolak tudung, masjid dan bertulis "hentikan Islam" itu tersenyum dengan tindakannya.
Walaupun 15 peratus penduduk Belgium beragama Islam, insiden bom di Brussel baru-baru ini menyebabkan peningkatan sokongan terhadap golongan ekstrim kanan.
Seorang pemberita yang bertugas berkata kemunculan Zakia menjadikan protes itu bertambah menarik yang hambar pada mulanya.
Zakia pula berkata pada mulanya mengelak kumpulan media kerana tidak mahu dilihat sebagai gadis yang mahukan perhatian.
"(Apa saya buat) ini bukan protes sama sekali, cuma mahu kongsi kegembiraan dan keamanan," katanya.



