Rizab Bank Negara, aset Malaysia di luar merosot pada suku 1 2016
Kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia untuk suku pertama 2016 mencatat kedudukan aset bersih yang lebih rendah RM10.9 bilion berbanding RM110.3 bilion pada suku keempat 2015, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata, aset dimiliki Malaysia di seberang laut merosot RM111.0 bilion kepada RM1,555.6 bilion, aset milik asing di Malaysia susut RM11.6 bilion kepada RM1,544.7 bilion.
Pelaburan langsung mencatat kedudukan aset bersih RM31.1 bilion pada akhir suku pertama 2016, turun RM51.5 bilion daripada 31 Disember 2015.
Stok pelaburan langsung di luar negeri (DIA) berada pada RM528.8 bilion pada akhir suku pertama 2016 (suku keempat 2015: RM587.5 bilion), dijana terutama dalam sektor kewangan dan insurans (31.1 peratus) diikuti sektor perlombongan (26.1 peratus) dan sektor komunikasi dan maklumat, 9.1 peratus.
Tiga destinasi utama DIA ialah Singapura, Indonesia dan Kanada.
Sementara itu, stok pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia berjumlah RM497.7 bilion pada akhir Mac 2016 (suku keempat 2015: RM504.9 bilion).
Sektor pembuatan kekal sebagai penerima FDI tertinggi pada 42.9 peratus, diikuti sektor kewangan dan insurans (22.1 peratus) dan sektor komunikasi dan maklumat (9.2 peratus) dengan tiga negara pelabur utama FDI ialah Singapura, Jepun dan Belanda.
Pada akhir suku pertama 2016, portfolio pelaburan menunjukkan kedudukan liabiliti bersih RM355.9 bilion berbanding liabiliti bersih RM326.6 bilion sebelum ini.
Paras aset pelaburan portfolio mencatatkan RM279.6 bilion dengan jumlah nilai stok liabiliti pelaburan portfolio pada RM635.5 bilion.
Kedudukan pelaburan lain pada akhir Mac 2016 mencatat liabiliti bersih RM47.5 bilion manakala kedudukan aset pelaburan lain pada suku pertama 2016 berjumlah RM269.6 bilion dan kedudukan liabiliti pelaburan lain berada pada RM317.1 bilion.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia merosot kepada RM381.5 bilion pada akhir Mac 2016 berbanding RM409.1 bilion dicatat pada suku keempat 2015.
- Bernama

