Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH), Maria Chin Abdullah berasa hairan dengan tindakan Otai Reformasi 1998 yang mahu menjarakkan diri dengannya sedangkan NGO itu tidak pernah menanda tangani Deklarasi Rakyat.

“Sebenarnya, mereka salah faham. BERSIH tidak pernah menanda tangani Deklarasi Rakyat. Jadi, saya tidak tahu apa yang mereka cakap, biarlah bercakap atas fakta yang betul," beliau memberitahu Malaysiakini.

"Deklarasi itu untuk rakyat, bukan untuk mana-mana organisasi," jelasnya.

Sebentar tadi, Setiausaha Otai Reformasi 1998, Abdul Razak Ismail berkata, pihaknya kini akan menjarakkan diri daripada aktiviti bersama BERSIH kerana menganggap perjuangan gabungan tersebut kini berlainan dengan agenda asal mereka.

"Kita mula meragui peranan BERSIH sejak kebelakangan ini yang mula lari daripada sasaran awal mereka untuk jamin satu sistem pilihan raya yang telus.

"Kita lihat BERSIH kini memperjuangkan untuk memartabatkan Mahathir sebagai ikon, idola untuk menjatuhkan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak," kata Abdul Razak.

Menyentuh mengenai surat 'Warkah dari penjara', Abdul Razak berkata, surat tersebut bukan isu dalaman PKR semata-mata seperti yang didakwa oleh Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya, beliau berkata, ia ditujukan kepada Pakatan Harapan serta semua rakyat termasuk pihak aktivis supaya berwaspada dengan Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Mahathir itu.

Mengulas lanjut, Maria berkata: "Saya rasa Otai Reformasi atau apa sahaja yang mereka mahu digelar, mereka mendapat maklumat yang salah.

"Dalam demokrasi, semua pihak harus mengiktiraf perbezaan orang dengan idea yang berlainan. Mereka tidak patut memandang rendah antara satu sama lain.

"Bagi saya, mereka sepatutnya membuat sesuatu yang lebih baik dari ini, mereka patut mengeluarkan kenyataan yang lebih baik," kata beliau lagi.

Bagaimanapun, Maria telah menanda tangani Deklarasi Rakyat atas kapasiti peribadinya.