Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amnesty: Hukuman bunuh tergesa-gesa memalukan
Diterbitkan:  May 20, 2016 7:11 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Amnesty International hari ini mengecam pelaksanaan hukuman gantung hingga mati ke atas banduan kelahiran negeri Sarawak, Kho Jabing oleh pihak berkuasa Singapura dan menganggap tindakan itu sebagai memalukan.

"Ia adalah memalukan bahawa Kho Jabing telah dibunuh, terutamanya secara tergesa-gesa dan tidak senonoh itu, selepas rayuan terakhirnya ditolak pagi ini," kata pejabat timbalan pengarah Amnesty International bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict.

Hukuman ke atas Kho dilaksanakan selang beberapa jam selepas rayuan terakhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Beliau dijatuhi hukuman mati kerana membunuh.

"Pengampunan sepatutnya diberikan, lebih-lebih lagi memandangkan ketidakpastian dan perbezaan pendapat berhubung nasib Kho Jabing sepanjang enam tahun lalu," kata Benedict.

Beliau berkata bahawa Singapura perlu membuat keputusan jika republik itu mahu mematuhi piawaian antarabangsa hak asasi manusia.

"Singapura kini berada di persimpangan.

"Ia perlu membuat keputusan sama ada mahu menyertai sebahagian besar negara di dunia ini dengan melindungi hak asasi manusia dan membersihkan negara itu daripada melaksanakan hukuman mati, atau kekal dengan kalangan minoriti negara-negara yang terus mendesak pelaksanaan hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

Keluarga Kho telah merayu hukumannya diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup tetapi tidak berjaya.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Kho, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive pada 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing anak Kujat.

Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.

Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.

Kemudian, Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lalu.

Lihat Komen
ADS