Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perselisihan antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PAS berhubung isu kerusi Parlimen Sungai Besar akan berterusan.

Sebaliknya, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, BN perlu terus kekal bersatu bagi memastikan kemenangan calon mereka menang di kerusi tersebut.

"Saya rasa biarkan mereka (HARAPAN dan PAS) berpecah tetapi kita mesti bersatu dan kuat.

"Saya harap apa yang berlaku di Sungai Besar, walau apa terjadi, siapa pun calon yang dipilih, kita mesti menerima.

"Dalam pilihan raya bukan pertandingan antara individu menentang individu tetapi parti menentang parti.

"Keutamaan kita adalah untuk memenangkan parti," tegas Ismail dalam sidang media pada Persidangan Ayahanda SeMalaysia 2016 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, hari ini.

PAS hari ini memutuskan bahawa parti itu akan tetap meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Malah, Pesuruhajaya PAS Selangor itu berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini mengumumkan bahawa parti itu akan meneruskan keputusannya untuk meletakkan calonnya dalam di Sungai Besar serta Kuala Kangsar.

Keadaan ini berlaku, walaupun setelah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa "rundingan" untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN diteruskan sehingga hari pencalonan hari.

Bagaimanapun, mengulas lanjut perselisihan tersebut, anggota Parlimen Bera itu berkata, BN tak boleh selamanya menganggap bahawa mereka akan terus berpecah kerana bila-bila masa perikatan itu mungkin akan bersatu semula.

Malah, Ismail berkata, BN tidak boleh meletakan harapan yang tinggi untuk menang ekoran perpecahan tersebut.

"Jangan kita harap untuk menang atas kelemahan orang lain. Kita mesti ada kekuatan sendiri untuk menang," tambah Ismail.

Dalam HARAPAN, parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut atas alasan ia mempunyai hak ke atas kerusi itu yang sebelum ini ditandingi oleh PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 5 Jun ini untuk hari penamaan pencalonan manakala hari pengundian pula ialah pada 18 Jun akan datang.

Kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar mengalami kekosongan ekorannya penyandangnya terkorban dalam nahas helikopter semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak.