Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz: 50 cawangan Umno Kedah usul undi tak percaya Najib
Diterbitkan:  May 22, 2016 1:59 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa 50 cawangan Umno Kedah telah membuat usul tidak percaya terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Mukhriz yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan nama cawangan terbabit di Facebook beliau yang didakwa turut meminta pemilihan parti diadakan tahun ini.

"Mungkin ada lagi cawangan-cawangan yang buat usul yang sama tapi tidak melaporkannya.

"Jumlah cawangan ini tentunya akan dikatakan terlalu sikit berbanding jumlah cawangan Umno di Kedah.

"Tapi belum pernah dalam sejarah kita ada usul-usul seperti ini diluluskan oleh begitu banyak cawangan-cawangan Umno.

"Demi demokrasi dalam Umno, ini hak ahli-ahli untuk menyuarakan isi hati kami mengenai kemelut yg melanda negara," tulis pemimpin Umno itu.

Mukhriz berkata, beliau juga menjangkakan sabotaj terhadap cawangan-cawangan Umno yang membentangkan usul tidak percaya tersebut.

"Mungkin juga akan ada pihak-pihak tertentu yang menafikan bahawa cawangan-cawangan yang tersenarai ini benar-benar buat usul sedemikian.

"Atau mereka melesapkan/meminda minit mesyuarat cawangan tersebut dalam laporan di peringkat Umno bahagian. Memang itupun yg kami jangka akan mereka lakukan," katanya dalam posting yang sama.

Bekas MB Kedah itu turut mengucapkan tahniah kepada cawangan Umno berkenaan yang disifatkan berani dan berharap mereka akan terus berjuang 'menyelamatkan Malaysia daripada kemungkaran'.

Daripada senarai cawangan itu, 29 adalah daripada kawasan yang menyokong Mukhriz di Jerlun, manakala 11 adalah daripada bekas kubu kuat bapanya di Kubang Pasu.

Lain-lain kawasan termasuk daripada Kuala Kedah, Pendang dan Baling.

Mukhriz, bersama dengan timbalan presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi kemungkinan tindakan disiplin kerana mengkritik kepimpinan parti, khususnya Najib.

Lihat Komen
ADS