MB Sgor kata banglo untuk pegawai kerajaan
Pembinaan 10 buah rumah banglo di Seksyen 7 di Klang yang didakwa pembangkang untuk kediaman anggota exco kerajaan Selangor, adalah sebahagian daripada projek perumahan untuk pegawai kerajaan negeri yang sudah diluluskan sejak tahun 2001, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Pembinaan 10 buah rumah banglo di Seksyen 7 di Klang yang didakwa pembangkang untuk kediaman anggota exco kerajaan Selangor, adalah sebahagian daripada projek perumahan untuk pegawai kerajaan negeri yang sudah diluluskan sejak tahun 2001, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, banglo tersebut bukanlah tempat kediaman eksklusif untuk exco sahaja, tetapi juga untuk pegawai-pegawai kerajaan yang lain.
"Ini bukan isu tetapi nak dipolitikkan. Ia sudah diputuskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Ketua Pembangkang DUN Selangor sudah tahu lebih awal perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Pagi bersama Warga Kerja Daerah Klang dan melancarkan Portal Pejabat Daerah Klang di Klang.
"Kosnya juga bukan RM40 juta tetapi kira-kira RM21 juta. Lagipun bukan semua exco yang akan berpindah (ke banglo tersebut) kerana ada antaranya sudah menetap di Shah Alam," tambahnya.
Semalam, malaysiakini melaporkan kenyataan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Teng Chang Khim yang mempersoalkan pembinaan 10 rumah banglo yang dilengkapi sebuah rumah kelab, yang didakwanya khusus untuk ahli exco negeri di Seksyen 7 di Shah Alam.
Mengenai dakwaan Teng berhubung penggunaan wang rakyat untuk projek kuarters kerajaan, termasuk banglo berkenaan, Dr Mohd Khir berkata ia dibina menggunakan wang hasil daripada projek penswastaan dan tidak ada wang pembayar cukai yang terbabit.
Tahun lalu sahaja, katanya, kerajaan membuat keuntungan sebanyak RM560 juta hasil daripada projek penswastaan.
Elaun ditarik balik
Sehubungan itu juga, tambahnya, sesiapa juga kakitangan kerajaan yang mendapat kuarters ataupun rumah kerajaan, segala elaun perumahan yang diterima mereka, akan ditarik balik.
"Kalau exco, elaun perumahan mereka sebanyak RM1,000 dan sesetengah kakitangan kerajaan sebanyak RM130 dan sebagainya. Tapi kita kena bina juga perumahan untuk mereka demi keselesaan kakitangan kerajaan," katanya.
Mengenai rumah kelab yang didakwa pembangkang dibina dalam kawasan perumahan banglo tersebut, Dr Mohd Khir berkata ia bertujuan memberi peluang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pegawai kerajaan untuk bermesyuarat, terutamanya pada waktu malam.
Katanya, ia juga bertujuan mengelakkan kos yang tinggi sekiranya mereka menyewa bilik mesyuarat di hotel-hotel.
Dr Mohd Khir berkata perancangan untuk kediaman pegawai-pegawai kerajaan memang sudah lama dibuat, dan ia berterusan.
Antara projek yang terbabit ialah di Seksyen 16 Shah Alam bernilai RM24 juta, Hulu Selangor (RM20 juta), Kuala Langat (RM30 juta), Klang (RM24 juta), Kuala Selangor (RM19 juta) dan kepentingan kakitangan semua peringkat tetap dijaga tanpa ada dasar tertentu.
Katanya, beliau menjangkakan semua projek perumahan sama ada rumah teres, dua tingkat, tiga tingkat atau pangsapuri untuk kakitangan kerajaan akan siap tahun depan.

