Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu UEC: Menteri 'tampar' timbalannya sendiri - DAP

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan timbalannya, Chong Sin Woon dilihat sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain dalam isu Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

"Semasa pilihan raya negeri Sarawak, Chong mendakwa kerajaan telah sedia untuk mengiktiraf UEC tidak lama lagi.

"Chong kata 'kita makin hampir'," kata ahli parlimen Rasah dari DAP, Teo Kok Seong di lobi parlimen.

UEC ditadbir oleh sekolah-sekolah tinggi Cina bebas di seluruh negara, dan belum diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan.

Chong dilaporkan berkata: "perjalanan ke arah merealisasikan UEC tidak jauh lagi".

Bagaimanapun, Teo berkata, menteri berkenaan telah memberikan jawapan yang berbeza dalam jawapan bertulis parlimen semalam.

Dalam jawapannya, Mahdzir berkata, UEC telah gagal untuk memenuhi keperluan yang digariskan di dalam Dasar Pendidikan Nasional seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan 1996.

"Ini suatu tamparan kepada timbalan menteri oleh menterinya sendiri," dakwa Teo yang bertanyakan perkembangan terkini mengenai UEC berikutan pengumuman Chong itu.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap UEC masih di peringkat perbincangan, belum dimuktamadkan.

UEC adalah ujian standard untuk pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Lihat Komen
ADS