UNDP sumbang 17 bot pada nelayan Kuala Muda
Bagi para nelayan Kota Kuala Muda, Kedah, bantuan 17 bot bersama pukat oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) seperti memberi nyawa baru kepada mereka selepas lebih dua bulan hilang mata pencarian setelah dilanda tsunami 26 Disember lalu.
Bagi para nelayan Kota Kuala Muda, Kedah, bantuan 17 bot bersama pukat oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) seperti memberi nyawa baru kepada mereka selepas lebih dua bulan hilang mata pencarian setelah dilanda tsunami 26 Disember lalu.
Selama ini mereka tidak pernah membayangkan akan mendapat bantuan bot sumbangan (UNDP) kerana Kerajaan Pusat telah berjanji untuk berbuat demikian, tetapi hingga hari ini tiada khabar beritanya.
"Bot kaca gentian ini memberi nyawa baru kepada kehidupan kami sekeluarga setelah lebih dua bulan menjadi penganggur. Sebelum ini, masa depan kami gelap kerana sudah begitu lama menantikan bantuan kerajaan," kata seorang penerima, Ruslan Mat Zin, 42.
Bapa kepada tiga orang anak itu adalah antara 17 nelayan Kota Kuala Muda yang menerima bantuan bot dari Pengarah UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Richard Leete di perkampungan nelayan tersebut, Ahad lalu.
UNDP membelanjakan AS157,000 untuk membantu nelayan mangsa tsunami di negara ini, sebahagian besarnya untuk nelayan di Kota Kuala Muda.
Seorang lagi nelayan, Azhar Ahmad berkata, bot baru sumbangan UNDP itu membolehkannya mencari rezeki semula setelah menghabiskan simpanan kerana tidak dapat mencari rezeki setelah botnya rosak teruk dilanda tsunami.
"Nelayan di sini amat memerlukan bot ini. Saya sudah bersedia untuk turun ke laut setelah lebih dua bulan berehat," katanya.
Meneruskan kehidupan
Bot itu dibuat oleh sebuah syarikat tempatan, Kuala Teguh Enterprise, yang mempunyai 12 pekerja dan kemampuan menyiapkan empat bot sehari.
Dr Richard berkata, beliau amat gembira kerana bantuan UNDP itu membolehkan nelayan terbabit meneruskan kehidupan mereka, terutama yang berkeluarga besar..
Katanya, UNDP tidak terlibat dengan politik dan pemberian bantuan bot itu dibuat berdasarkan kepada kerosakan yang dialami nelayan terbabit.
"Hasrat UNDP ialah mahu memberikan semua 600 nelayan di Kota Kuala Muda ini bot kaca gentian tetapi sumber kewangan kami terhad...hanya yang benar-benar memerlukannya, mendapat bantuan bot," katanya.
Pegawai Perikanan Kota Kuala Muda, Ismail Hassan pula berkata, 200 bot nelayan Kota Kuala Muda rosak atau musnah semasa bencana tsunami melanda pada 26 Disember lalu.
Menurutnya, ketika ini, cuma 20 peratus daripada bot itu yang boleh digunakan semula untuk menangkap ikan setelah dibaiki atau dibaikpulih oleh nelayan terbabit.
"Jumlah tersebut tidak mampu menampung kehidupan kira-kira 700 nelayan di Kota Kuala Muda. Ini menyebabkan sebuah bot yang sebelum ini membawa tiga nelayan, kini menampung sehingga tujuh orang," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, sebahagian besar mereka terpaksa menganggur kerana permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan pinjaman melalui dana perikanan belum disalurkan kepada nelayan terlibat.

