Polis tidak menolak kemugkinan kejadian letupan di perhentian teksi berhadapan bangunan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur malam tadi disebabkan bunyi letupan ekzos kereta.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Kamal Basha berkata setelah pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, polis masih tidak menemui sebarang kesan daripada letupan tersebut.

"Mungkin dari kereta...iaitu dari letupan ekzos yang dilepaskan, kerana kita tidak jumpa sebarang kesan yang boleh mengaitkannya dengan sebarang bentuk jenis letupan lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya Bahagian Forensik Maktab Polis Cheras yang berada di tempat kejadian pagi ini tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan dengan letupan itu.

Beliau berkata bagimanapun katanya siasatan terperinci masih dijalankan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian pagi tadi mendapati anggota Bahagian Forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian dari jam 7.20 hingga 8.30 pagi.

Jalan di kedua-dua hala yang ditutup selepas kejadian itu malam tadi dibuka semula sebaik saja anggota Forensik meninggalkan kawasan tersebut.

Sementara itu, lebih kurang 10 anggota polis termasuk sebuah kereta peronda kelihatan masih mengawal di tempat kejadian.