Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Putrajaya untuk membenarkannya untuk membuktikan bahawa Pulau Pinang boleh membina sebuah jambatan tanpa kutipan tol.

"Jika kerajaan persekutuan ikhlas dan bukannya bermain politik atau menggunakan isu terowong untuk menyerang ketua menteri, sila luluskan permohonan untuk jambatan itu," kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.

"Kita akan cuba untuk mengecualikan jambatan itu daripada bayaran tol. Mari kita buktikannya," kata Lim.

Beliau berkata tidak ada sebab untuk Putrajaya untuk membantah permohonan Pulau Pinang kerana kerajaan negeri akan membiayai kos pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Menurut Lim, terowong bawah laut negeri itu yang sebelum ini dicadangkan adalah projek jangka panjang yang dijadualkan siap antara tahun 2025 dan 2027, atau 15 tahun akan datang.

Katanya, antara sebab bagi pembinaan terowong dasar laut adalah untuk memastikan bahawa  "pembangunan seimbang" di semua daerah di Pulau Pinang, terutamanya di tanah besar.

Lim berkata, buat masa ini kawasan Seberang Perai Tengah dan Selatan mempunyai hubungan dengan jambatan Pulau Pinang yang pertama dan kedua tetapi tidak ada hubungan ke pulau dengan Seberang Perai Utara.

"Seberang Perai Utara menempatkan kawasan pembangkang, tetapi kita  masih mahu pembangunan di kawasan itu," kata Lim.

Lim dan menteri persekutuan merangkap pengarah strategi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini berterusan berperang mulut terhadap rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.

Rancangan itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan bernilai RM27 bilion di negeri itu yang akan menghubungkan pulau berkenaan dengan Bagan Ajam di tanah besar.

[Baca berita penuh]