Lima rakyat Myanmar ditangkap ketika cuba berenang ke Singapura
Cubaan lima orang pendatang tanpa izin warga Myanmar berenang ke Singapura gagal apabila mereka terserempak dengan sepasukan Polis Marin yang sedang meronda di Selat Tebrau di Johor hari ini.
Cubaan lima orang pendatang tanpa izin warga Myanmar berenang ke Singapura gagal apabila mereka terserempak dengan sepasukan Polis Marin yang sedang meronda di Selat Tebrau di Johor hari ini.
Ketua Bahagian Operasi Risikan Polis Marin Wilayah Selatan, DSP Dimin Awang berkata mereka yang berusia 24 hingga 38 tahun itu ditahan kira-kira 300 meter dari bangunan Water Front City di Pantai Lido.
"Polis menerima maklumat mengatakan ada pendatang asing cuba ke Singapura melalui jalan laut, sehubungan itu satu operasi khas dilancar sejak Selasa lalu," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut laporan Bernama, Dimin berkata tiga bot peronda dikerah menjalankan rondaan itu.
Guna plastik sampah
Pada kira-kira jam 4 pagi tadi, sebuah bot peronda terserempak dengan lima lelaki itu sedang berenang dengan menggunakan plastik sampah berwarna hitam sebagai pelampung.
"...(plastik itu) sebagai helah supaya kelihatan seperti sampah hanyut," katanya.
Dimin berkata, mereka sedang berenang menuju ke negara jiran itu dipercayai sudah berada di Johor sejak dua atau tiga hari yang lalu.
Daripada siasatan awal mereka dipercayai masuk ke negara ini secara haram dari Thailand, katanya.
Dimin berkata mereka ditahan kerana kesalahan masuk secara haram dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

