Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Lebih tujuh peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Malaysia dikenal pasti mempunyai berat badan berlebihan manakala lapan peratus lagi mengalami kekurangan zat makanan akut.

Perkara itu terkandung dalam Laporan Serantau mengenai Jaminaan Zat Makanan di ASEAN oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ASEAN.

Laporan itu juga menyatakan hampir seorang daripada setiap lima kanak-kanak di Malaysia terbantut atau terlalu rendah bagi usia mereka dan trend itu semakin meningkat di beberapa negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Penasihat Pemakanan Rantau Asia Timur dan Pasifik Unicef Christiane Rudert berkata usaha mencegah obesiti dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak perlu bermula sejak peringkat prahamil, ketika hamil dan dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak.

"Cara memberi makan dan kesedaran tentang pentingnya diet sihat untuk menjamin pertumbuhan sihat kanak-kanak perlu diberi penekanan untuk menangani masalah itu," katanya semasa menyampaikan ucapan pada forum 'Beban Berganda Malaysia-Obesiti dan Kekurangan Zat Makanan dalam Kalangan Kanak-kanak' di Razak School of Government di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata dasar dan undang-undang kukuh juga perlu diwujudkan berkaitan amalan makan secara sihat seperti cukai gula yang dikenakan di Mexico.

Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia Zalma Abd Razak berkata faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuklah budaya makan secara tidak sihat seperti kurang makan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu seperti yang disyorkan pakar kesihatan.

"Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Rangka Kerja Pemakanan 2016-2025 berada di peringkat akhirnya sekarang. Ia akan memberi fokus terhadap usaha memerangi obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa bagi mencapai kesejahteraan pemakanan optimum dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Untuk jangka panjang, Kementerian Kesihatan mungkin boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menempatkan pakar pemakanan di sekolah atau pejabat pendidikan daerah.

"Ini kerana kanak-kanak sekolah adalah kumpulan sasaran terbaik bagi menanam budaya makan secara sihat dalam masyarakat," katanya.

Pensyarah Sekolah Hospitaliti, Pelancongan dan Seni Kulinari Taylor's University Dr Elise Mognard berkata kewujudan lebih banyak maklumat tentang diet sihat secara beransur-ansur dapat membantu mengubah tabiat makan orang ramai.

"Bagaimanapun, cabaran di Malaysia ialah sejumlah besar rakyatnya makan makanan luar sekurang-kurangnya sekali sehari," kata beliau.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia Prof Dr Mohd Ismail Noor pula berkata antara langkah yang boleh diambil untuk menggalakkan pengambilan diet sihat di sekolah ialah dengan menyediakan mesin air bagi mendorong kanak-kanak meminum air biasa, bukan minuman bergula.

- Bernama

Lihat Komen
ADS