Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Habuan 'wang, wanita': Rafizi akan failkan laporan SPRM
Diterbitkan:  May 26, 2016 1:03 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bahawa permintaan mendapatkan ‘wang dan wanita’ dalam rundingan dengan kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata laporan itu akan difailkan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin depan.

“Kepada semua termasuklah rakan-rakan Umno/BN  yang seperti kadok naik junjung mendesak saya membuat laporan SPRM sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku pada hari Isnin, 30 Mei 2016 jam 11:30 pagi di ibu pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rafizi turut memuji Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keputusan biro politik yang bermesyuarat malam Selasa lalu dan mengarahkannya menyerahkan semua bukti yang dimilikinya kepada SPRM.

“Ini akan menjadi satu rujukan atau precedent selepas ini bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.
 
“Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi,” katanya.

Menurut Rafizi dalam mengambil keputusan membuat pendedahan mengenai kemungkinan rasuah membabitkan parti itu, ada yang mengkritik, menyokong, bimbang, memfitnah dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan.

“Ada yang lebih kasar dan menuduh saya sudah dibeli oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk  Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj parti demi melepaskan diri dari pelbagai dakwaan di mahkamah yang saya sedang hadapi.

 “Oleh sebab itulah saya menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada saya boleh melaporkan aduan salahlaku terus kepada pihak berkuasa seperti SPRM.

“Keputusan itu saya buat dengan mengambil kira rencam pandangan mengenai isu ini dan jika tidak berhati-hati, niat baik saya untuk saling ingat mengingati akan bertukar menjadi polemik politik yang boleh merenggangkan lagi kebersamaan di dalam parti,” katanya.

Rafizi berkata beliau berharap rakyat akan memahami bahawa sedang komitmennya kepada pencegahan rasuah adalah tidak berbelah bagi baik di dalam atau luar parti.

Mengulas gesaan Anwar supaya anggota parti kembali kepada reformasi, Rafizi menceritakan bagaimana beliau terbabit sejak zaman aktivisme pelajar.

“Sebagai pimpinan pelajar pada ketika itu, saya terjun menyertai anak muda lain di jalanraya dengan matlamat yang jelas: reformasi adalah perubahan sistem yang meletakkan rakyat di atas; reformasi bukan solekan kepada sistem sedia ada, reformasi bukan penambahbaikan kepada sistem yang diamalkan BN.

“Reformasi bukan transformasi dan bukan deklarasi,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS