Syed Hamid: Tiada jangkamasa selesaikan isu sempadan
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Indonesia berhubung pertikaian mengenai sempadan maritim di Laut Sulawesi, tetapi menegaskan tiada jangkamasa ditetapkan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Indonesia berhubung pertikaian mengenai sempadan maritim di Laut Sulawesi, tetapi menegaskan tiada jangkamasa ditetapkan untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Kami berharap ini akan menjadi satu permulaan untuk mengadakan perbincangan antara dua pihak berhubung isu Laut Sulawesi dan seterusnya," katanya kepada pemberita di Jakarta menjelang mesyuarat menteri-menteri Asia Tenggara dan Eropah.
Katanya, dalam satu mesyuarat dengan rakan sejawatannya Hassan Wirayuda lewat semalam, mereka bersetuju supaya diadakan dialog untuk menyelesaikan pertikaian selepas Kuala Lumpur memberi konsesi carigali minyak dan gas kepada syarikat Shell di Laut Sulawesi.
Tetapi apabila ditanya sama ada ditetapkan jadual untuk mengadakan rundingan tersebut, Syed Hamid berkata: "Saya tidak fikir yang kita perlu menetapkan jangkamasa (untuk itu)".
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan semalam berkata, kerajaan kedua negara akan 'mengambil langkah-langkah perlu' untuk meredakan ketegangan tersebut.
"Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Malaysia bersetuju supaya masalah berhubung sempadan maritim antara kedua negara itu, khususnya di Laut Sulawesi, diselesai secara aman," katanya.
Pasukan teknikal
Kapal perang kedua-dua negara mengawal kawasan sekitar sempadan sejak 16 Februari lalu selepas Petronas memberi konsesi carigali minyak dan gas kepada Shell.
Jakarta mendakwa, dua blok kawasan carigali yang diserahkan kepada Shell itu terletak di luar wilayah Malaysia.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, Indonesia dan Malaysia bersetuju mewujudkan pasukan teknikal yang dianggotai wakil kedua negara bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit mulai 22 Mac ini.
Sebelum ini, hubungan Malaysia dan Indonesia pernah tegang berhubung tuntutan bertindih bagi dua buah pulau dekat Sabah. Pertikaian itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang memutuskan pada Disember 2002 bahawa kedua-dua pulau itu milik Malaysia.
Indonesia pernah mengisytiharkan perang ke atas Malaysia pada 1963, berhubung masa depan Kepulauan Borneo selepas British meninggalkan kepulauan itu. Konflik tersebut berakhir tiga tahun kemudian apabila Jakarta terpaksa menumpukan kepada masalah dalaman negara itu.
- AFP

