Paling Popular
Terkini
story images
story images

Gerakan Mahasiswa Amarah (GeMA) mendesak pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya merosakkan undi mereka atau tidak turun mengundi sebagai tanda protes kepada parti-parti politik di negara ini.

Koordinatornya Wafiuddin Rosli berkata parti politik dari kerajaan dan pembangkang tidak lagi menjadi harapan kepada rakyat dan mahasiswa ekoran semakin hari semakin banyak krisis melanda negara.

“Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar perlu merosakkan undi dengan simbol tanda seru (!) kepada semua ruang tanda kertas undi pada PRK akan datang.

“Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak perlu turun mengundi dan memperbanyakkan amalan bulan Ramadan sewaktu PRK.

“Kempen ini bakal digerakkan bermula sekarang sehingga PRK berlangsung jika mereka (parti politik) tidak dapat menyelesaikan krisis dan permasalahan yang dihadapi segera, kami tidak teragak-agak untuk terus berkempen sehingga PRU14,” katanya di luar parlimen hari ini.

Katanya, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak ada makna lagi untuk mempertahankan mana-mana parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang.

“PRK yang bakal berlangsung ini bukanlah satu aset berharga buat rakyat tetapi ia adalah medan terbaik untuk mengajar parti politik di Malaysia supaya berpolitik di Malaysia dengan sebetulnya,” katanya.

Dalam sidang media yang dihadiri empat anggotanya, mereka berkata Barisan Nasional yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak gagal menjadi kerajaan yang baik lebih-lebih lagi apabila terpalit dengan skandal derma RM2.6 bilion.

Namun mereka berpendapat pembangkang juga bukan alternatif terbaik untuk menggantikan BN kerana gagal mengurus krisis sesama parti komponen malah terus berpecah dan bertikam lidah sesama sendiri.

“Blok pembangkang di Malaysia saling tidak tumpah untuk diistilahkan sebagai munafik politik di Malaysia. Wajah munafik mereka acapkali dipertontonkan sewaktu di ambang pilihan raya.

“Bahkan rakyat memerhati mereka tidak berlaku jujur sama ada sesama sendiri mahupun di hadapan rakyat untuk menggantikan BN. Pembangkang lebih ghairah untuk memanjangkan pergaduhan dan tidak segan silu untuk disensasikan buat tatapan rakyat,” katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS