Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teka-teki calon PRK Kuala Kangsar hampir terjawab

Menjelang pengumuman calon PAS esok bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, sekurang-kurangnya tiga nama disebut-sebut telah disenaraikan untuk dipilih bertanding mewakili parti Islam itu.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Malaysiakini, mereka termasuk yang dipertua PAS kawasan Kuala Kangsar, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob; bekas ADUN Titi Serong, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah dan ahli Jawatankuasa PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki.

Manakala bagi BN pula empat nama disebut-sebut sebagai antara yang sedang dipertimbangkan untuk bertanding dalam PRK berkenaan.

Mereka ialah Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Perak, Shamlan Zabaai; Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar, Aishah Halid dan Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Manakala menurut seorang bekas ADUN Umno pula, nama isteri Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar - Mastura Mohd Yazid turut disebut.

Dalam pada itu, difahamkan terdapat calon menunggu yang bukan daripada Umno bahagian Kuala Kangsar tetapi dirasakan sesuai mewakili BN memandangkan individu tersebut sudah pun dikenali oleh masyarakat tempatan.

Untuk itu, nama bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari turut tersenarai dan ada pihak melihat beliau mempunyai potensi memandangkan pengaruhnya masih ada.

Sementara itu, walaupun Pakatan Harapan belum lagi memutuskan calon parti yang akan mewakili gabungan itu tetapi AMANAH sehingga ini telah menyatakan minatnya untuk bertanding di situ.

Sehubungan itu, beberapa nama dari parti telah disebut seperti presidennya, Mohammad Sabu, timbalan beliau, Salahuddin Ayub dan timbalan pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Parlimen Kuala Kangsar SPR mempunyai 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 orang pengundi awal.

Berdasarkan kenyataan pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini, PRK Kuala Kangsar membabitkan kos RM2.7 juta.

Dalam pilihan raya umum 2013 Wan Mohammad Khair-il mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan bekas pemimpin Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dengan majorti 1,082 undi.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu kosong berikutan kematian anggota parlimennya dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun depan.

Lihat Komen
ADS