Selepas Umno mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS mahu menyertai parti itu, hari ini seorang Exco Kerajaan Kelantan pula mendakwa ada Adun Umno yang mahu menyertai parti itu.

Husam Musa mendakwa, beberapa Adun Umno Kelantan telah menyatakan keinginan untuk menyertai PAS bagi menguatkan pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Beberapa Adun Umno menyatakan mereka berminat menyertai PAS tetapi saya tidak mahu menyatakan nama mereka yang berminat itu," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussein bahawa beberapa Adun PAS Kelantan mahu menyertai Umno, Husam berkata, ia sekadar 'berita murahan'.

"Sudah banyak kali Timbalan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah itu menyatakan beberapa calon PAS mahu melompat ke kem Umno tetapi hingga hari ini tidak ada seorangpun yang berbuat demikian.

"Sejak setahun lalu, Awang Adek mencanangkan kononnya beberapa Adun PAS mahu menyertai Umno kerana mahu memajukan Kelantan tetapi ia tidak pernah berlaku," katanya.

Beliau juga mendakwa, kedudukan Awang Adek sebagai seorang timbalan menteri kabinet, tidak mampu membawa pembangunan kepada kawasan Parlimennya di Bachok.

Sekadar 'cakap kosong'

"Pembangunan apa yang beliau bawa untuk penduduk Bachok setelah lebih setahun menjadi Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah?" soal Husam.

Menurutnya lagi, beliau dan PAS Kelantan sedikitpun tidak merasa bimbang dengan kenyataan yang dibuat oleh Awang Adek itu kerana ia sekadar "cakap kosong'.

Beliau menasihatkan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan itu supaya usah terlalu ghairah membuat kenyataan tentang Adun PAS mahu menyertai Umno kerana ia boleh menyebabkan orang hilang kepercayaan kepadanya.

Semalam, beberapa akhbar tempatan melaporkan Awang Adek sebagai berkata, beliau mendengar khabar beberapa Adun PAS Kelantan mahu menyertai Umno bagi membawa kemajuan kepada negeri itu.

Awang Adek juga dilaporkan mengalu-alukan kemasukan mereka 'kerana ini akan membantu pembangunan ekonomi di Kelantan".

Menurut timbalan menteri itu lagi, Adun PAS tersebut mempunyai kesedaran untuk sama-sama membangunkan Negeri Kelantan yang ketinggalan dalam serba-serbi dalam era pemerintahan PAS sekarang.